KUALA LUMPUR, 26 Mei – Kerajaan Malaysia dan Thailand bersetuju menubuhkan 2 Pos Sempadan Berselaras (CBP) baharu bagi memerangi jenayah rentas sempadan dan penyeludupan di kedua-dua buah negara.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata, jawatankuasa yang dijangka siap akhir tahun ini akan melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Diraja Thailand dalam meningkatkan kawalan di sempadan negara.
Selain itu, beliau berkata, kerjasama ketenteraan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera Diraja Thai ini akan dipertingkat menerusi bidang latihan, kursus dan latihan secara bersama.
Beliau berkata demikian selepas menerima Kunjungan Hormat bersama Timbalan Perdana Menteri Thailand, H.E. General Prawit Wongsuwon mewakili Perdana Menteri di Kementerian Pertahanan, pada Khamis.
Hishammuddin menjelaskan, kedua-dua buah negara turut membincangkan isu-isu berkepentingan bersama dalam mengekalkan dan meningkatkan lagi kerjasama pertahanan sedia ada.
“Kami bersetuju bahawa adalah penting bagi kami untuk mengekalkan dan meningkatkan hubungan diplomasi pertahanan demi untuk mengelakkan eksploitasi sempadan kedua-dua buah negara serta berlakunya tindakan keganasan dan keganasan melampau,” jelasnya dalam kenyataan.
Tambahnya, Malaysia juga mencadangkan untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dalam Peronda Selat Melaka (MSP) kepada Mesyuarat Menteri-menteri Segiempat dengan penyertaan Menteri-Menteri Pertahanan dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.
“Saya dengan sukacitanya melaporkan bahawa Prawit Wongsuwan sangat menyokong cadangan kami, dan kami berharap Thailand menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Peringkat Menteri Segiempat MSP yang julung kali diadakan,”ujarnya.
Terdahulu, Prawit memulakan lawatan kerja rasmi sulung ke Malaysia selepas pandemik COVID-19 hari ini.
Beliau tiba di Wisma Pertahanan bagi membuat kunjungan hormat kepada Hishammuddin pada jam 11 pagi.
Prawit yang juga Menteri Pertahanan Thailand dijadual menghadiri Mesyuarat Ke-55 General Border Comittee Malaysia-Thailand yang akan dipengerusikan secara bersama Hishammuddin.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, pertemuan 4 mata itu juga membincangkan mengenai pembangunan beberapa projek infrastruktur utama di kawasan sempadan iaitu Jajaran Jalan Menghubungkan Bukit Kayu Hitam (BKH)-Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, pembinaan serta penyelengaraan Jambatan Persahabatan Antarabangsa di Bukit Kayu Hitam.
“Kedua-dua negara juga membincangkan tentang keselamatan makanan dan kesan gangguan rantaian bekalan yang timbul daripada pandemik COVID-19 khususnya ke atas bekalan makanan ke Malaysia dan Thailand,
“Kami bersetuju supaya agensi dan Kementerian berkaitan meningkatkan kerjasama dan terus mengukuhkan keselamatan makanan Malaysia dan Thailand untuk kekal stabil dalam semua keadaan,
“Hasil daripada isu yang dibincangkan yang memerlukan kerjasama antara kementerian atau antara agensi akan disampaikan dalam mesyuarat Kabinet akan datang,”tambahnya. -airtimes.my