BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Tentera Brunei dan Singapura telah selesai melaksanakan latihan peperangan di kawasan terbina bersama selama 5 hari.
Latihan ini dilaksanakan oleh kedua-dua pihak dalam Eksesais MAJU BERSAMA Siri 26/2023.
Latihan bilateral secara tahunan ini telah diadakan pada 20 Januari lalu.
Kementerian Pertahanan Singapura dalam satu kenyataan berkata, latihan ini melibatkan 1st Battalion Singapore Infantry Regiment (1 SIR) dari Tentera Darat Singapura (Singapore Army) dan Batalion Ketiga Tentera Darat Diraja Brunei (3Bn TDDB).
“Latihan tahun ini melibatkan pertukaran profesional, termasuk perkongsian silang sistem senjata dan kecekapan operasi bandar,
“Selain itu, ia melibatkan pelaksanaan keupayaan operasi di kawasan terbina pada peringkat kompeni,” katanya.
Kenyataan itu turut menyatakan latihan pada kali ini melibatkan operasi serangan bersepadu oleh kedua-dua pihak terhadap sasaran di kawasan terbina.
“Latihan pada tahun ini merupakan siri ke-26 dan merupakan bukti komitmen dari kedua-dua negara dalam mendukung keamanan serta keselamatan serantau,
“Semenjak kali pertama diadakan pada tahun 1995, latihan ini telah menjadi platform yang penting kedua-dua tentera dalam memperkukuhkan hubungan profesional dan persahabatan,” kata Panglima Tentera Darat Singapura, Mejar Jeneral David Neo dalam ucapan penutup eksesais pada 25 Januari lalu.
Turut hadir ke majlis penutup eksesais adalah Komander TDDB, Brigadier Jeneral Mohammad Shanonnizam Sulaiman.
Dalam ucapannya, Komander TDDB menegaskan eksesais ini telah memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi ilmu,dan pengalaman dalam taktik, teknik dan prosedur operasi.
“Ini akan mempertingkatkan kemahiran dan profesionalisme dikalangan anggota tentera di kedua-dua pihak,” kata Mohammad Shanonnizam dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh TDDB.
Kenyataan itu juga menjelaskan latihan bersama ini meningkatkan daya saling operasi, perkongsian kepakaran dalam merancang dan melaksanakan peperangan di kawasan terbina.
“Latihan ini turut mempertingkatkan hubungan di antara kedua-dua pasukan tentera,
“Eks MAJU BERSAMA menjadi simbol hubungan pertahanan yang bekekalan Brunei-Singapura,” kata kenyataan TDDB. – airtimes.my