SUBANG, 15 Sept – Demi kebajikan masyarakat, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekali lagi melaksanakan penerbangan ihsan merentasi Laut China Selatan pada petang tadi. Penerbangan tersebut yang melibat sebuah pesawat A400M telah membawa seorang pesakit yang menghidapi penyakit kegagalan hati dan tinggi kandungan gula dalam darah dari Tawau ke Pangkalan Udara Subang.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak TUDM pada hari ini, Ahmad Asyraf bin Zubir, 28 tahun, telah selamat tiba di Pangkalan Udara Subang pada pukul 7.19 malam sebelum dikejarkan ke Hospital Selayang dengan menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut. Beliau turut ditemani oleh adiknya, Ahmad Qhaliss serta 4 orang petugas perubatan dari Hospital Kota Kinabalu.
Misi penerbangan ihsan yang memakan masa 3 jam itu dikendalikan oleh No. 22 Skuadron. Dalam misi ini, Leftenan Kolonel Baharin bertindak sebagai juruterbang dan Kapten Ikmal selaku pembantu juruterbang berserta 4 orang kru dari No 22 Skuadron.
Dalam kenyataan yang sama, pihak TUDM turut menyuarakan komitmen mereka dalam memenuhi keperluan kebajikan masyarakat dengan penuh komitmen. Pihak TUDM turut mendoakan kesihatan pesakit untuk kembali pulih.