KOTA BHARU, 27 Ogos – Istana Kelantan dengan tegas menyangkal dakwaan sebuah portal yang menyatakan bahawa Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan suaminya, Datuk Zamani Ibrahim dilarang ke istana negeri itu.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata, kenyataan seperti yang disiarkan oleh portal itu adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas.
“Tidak pernah ada larangan seperti yang didakwa dikeluarkan oleh Istana Kelantan,
“Istana Kelantan memandang serius tohmahan berupa fitnah seperti ini dan menyarankan agar pengamal media merujuk kepada istana terlebih dahulu mengenai kesahihan apa-apa berita sebelum disiarkan bagi mengelak dari mengelirukan masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, pihak istana akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berkenaan sekiranya fitnah tidak berasas ini berlarutan. – airtimes.my