PULAU LANGKAWI, 27 Jun – Cubaan 2 lelaki warga tempatan untuk menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke pulau ini, gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Pulau Pinang di kawasan Laut Teluk Apau, semalam.
Pemangku Komander Pasukan PPM Wilayah 1, Superintendan Shoppri Saad berkata, pihaknya menahan 2 individu terbabit menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) di lokasi berkenaan pada jam 12.30 pagi.
“2 lelaki berusia 33 dan 35 tahun yang ditahan itu dipercayai berperanan sebagai tekong laut. Hasil siasatan mendapati suspek gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,
“Mereka dipercayai terbabit dalam aktiviti penyeludupan 4 orang PATI warganegara Myanmar ke Pulau Langkawi melalui jalan tidak diwartakan menggunakan bot nelayan,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Shoppri berkata, pihaknya turut merampas sebuah bot fiber berserta enjin, sejumlah wang tunai dan telefon bimbit yang semuanya dianggarkan bernilai RM 20,500.
“Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963,” tambahnya. -airtimes.my