KUALA LUMPUR, 22 Mac – Pesawat khas yang membawa rakyat Malaysia dari Tehran, Iran, satu daripada negara yang paling teruk dilanda wabak COVID-19, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang awal pagi ini.
Pesawat AirAsia disewa khusus untuk Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan oleh kerajaan Malaysia itu tiba pada 6.35 pagi, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara.
Laporan terdahulu menyatakan seramai 46 individu termasuk 10 kanak-kanak, yang telah berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Tehran akan dibawa pulang dalam penerbangan khas yang berlepas dari Tehran malam tadi.
Mereka yang dibawa pulang itu akan melalui proses tapisan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) di KLIA, sama seperti dua misi HADR dari Wuhan, China pada Februari lepas.
Semalam, Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata pesawat AirAsia telah berlepas ke Tehran untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Iran hasil perbincangan peringkat tertinggi antara kerajaan-kerajaan negara terlibat dalam semangat kerjasama ASEAN. – Bernama