LUNDU, 13 Okt – Hasrat 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba memasuki Sarawak dengan mencari pekerjaan musnah apabila ditahan dan diusir oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia dalam Operasi Benteng (Op Benteng).
Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) dalam kenyataan berkata, kesemua PATI tersebut telah ditahan dan diusir keluar ketika cuba menceroboh masuk ke Sarawak menggunakan lorong tikus dalam 3 kejadian yang berlaku dalam tempoh 2 hari di Tebedu dan Biawak.
Menurutnya, kejadian pertama berlaku pada pagi 12 Oktober 2021, di mana anggota pasukan telah menahan 2 orang PATI lelaki berumur 39 dan 42 tahun yang cuba memasuki Malaysia di Sektor Tebedu.
“Pada kejadian kedua pula, seramai 7 orang PATI lelaki berusia diantara 19 hingga 52 tahun berjaya dikesan cuba memasuki Malaysia dari arah Indonesia di kawasan Biawak,
“Manakala, kejadian ketiga pula yang berlaku pada pagi 13 Oktobe iaitu seramai 5 orang PATI yang berusia 24 hingga 47 tahun termasuk seorang wanita berjaya ditahan di sekitar kawasan Biawak,” jelasnya.
Hasil siasatan terhadap ketiga-tiga kejadian tersebut mendapati kesemua mereka cuba menceroboh masuk ke Malaysia bagi tujuan mencari peluang pekerjaan di negara ini.
“Kesemua PATI yang ditahan tersebut telah diusir keluar setelah laporan polis dibuat terhadap mereka untuk tindakan selanjutnya,” tambahnya.
ATM menegaskan, pihaknya akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di persempadan negara terutamanya ketika negara sedang memasuki Fasa endemik wabak COVID- 19 yang menyaksikan peningkatan kes pencerobohan PATI ke negara ini bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terpelihara. -airtimes.my