KUALA LUMPUR, 7 Feb – Seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) di seluruh negara, semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi bersepadu itu turut merampas 4 kenderaan darat.
“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 79 bot dan kapal di perairan negara melalui 4 aktiviti penglihatan,” katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.
Op Benteng Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi keselamatan lain turut menjalankan 540 sekatan jalan raya (SJR) semalam.
“Op Penawar yang melibatkan ATM, PDRM dan RELA sebanyak 484 SJR, Op Benteng PDRM (47 SJR) dan Op Benteng AKSEM (9 SJR),” ujarnya.
Sementara itu, pasukan Task Force Operasi Pematuhan PDRM pula telah menahan 789 individu atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP), semalam.
“Daripada jumlah itu, 764 telah dikompaun 21 individu direman manakala 4 lagi dijamin,
“Antara kesalahan ingkar SOP adalah tidak memakai pelitup muka (191); rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (160); tiada penjarakan fizikal (110); gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri dan pelanggan (128); premis beroperasi lebih masa tanpa kebenaran (41); keluar rumah tanpa alasan munasabah (23) dan lain-lain (136),” ujarnya. – airtimes.my