KUCHING, 13 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sarawak menahan sebuah bot tunda beserta tongkang beroperasi menggunakan dokumen yang telah tamat tempoh pada jarak lebih kurang 5 batu nautika dari Tanjung Po, semalam.
APMM dalam hantaran di media sosialnya berkata, bot tunda dan tongkang ditahan sekitar jam 10.00 malam dengan muatan pasir dianggarkan 1 tan metrik pada jarak lebih kurang satu batu nautika dari aset APMM.
“Hasil pemeriksaan dan geledah mendapati bot tunda tersebut disyaki beroperasi menggunakan dokumen lesen vesel yang telah tamat tempoh dan tidak memiliki sebarang dokumen Port Clearance ketika diperiksa oleh penguatkuasa,
“Bot tunda beserta tongkang tersebut dikendalikan oleh 6 kru termasuk nakhoda kesemuanya lelaki berumur dalam lingkungan 22 hingga 67 tahun,
“6 kru terbabit terdiri dari 2 warga tempatan mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap, manakala 4 warga India tersebut disyaki memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua kru, bot tunda serta tongkang ditahan dan diiring ke Jeti APMM, Muara Tebas untuk siasatan lanjut. – airtimes.my