PUTRAJAYA, 17 Jun – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menjelaskan tiada hukuman diwartakan kepada ibu bapa yang membawa anak ke pasaraya atau tempat terbuka.
Namun, beliau menegaskan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tersebut harus menjaga kepentingan kesihatan dan kebersihan anak mereka ketika beriadah atau di pusat membeli belah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa.
Ini disebabkan kanak-kanak merupakan golongan yang berisiko tinggi dijangkiti wabak pandemik COVID-19.
Beliau turut berkata tiada larangan bagi kanak-kanak untuk keluar beriadah di taman permainan sepanjang tempoh PKPP ini.
“Sekarang ini kanak-kanak sudah boleh keluar, tiada larangan untuk mereka beriadah di taman permainan yang sudah mula dibuka,
“Cuma peringatan yang ingin ditegaskan, jangan berhimpun beramai-ramai di kawasan riadah tersebut, sebab kita perlu mengamalkan penjarakan sosial,
“Walaupun larangan untuk membuka taman telah dibuka, namun SOP perlu dipatuhi,
“Begitu juga dengan pusat beli-belah, tiada arahan yang tidak membenarkan kanak-kanak untuk pergi membeli permainan bersama ibu bapa di situ,
“Cuma saya selalu ingatkan, kanak-kanak merupakan golongan yang berisiko tinggi. Jadi Ibu bapa perlu menjaga kepentingan kesihatan anak mereka,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKPP, di Putrajaya, hari ini.