KUALA LUMPUR, 10 Apr – Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), KEADILAN, G. Manivanan mendakwa pengumuman tarikh pengundian bagi Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 (Rabu) adalah satu lagi taktik kotor Barisan Nasional (BN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengurangkan jumlah pengundi keluar mengundi.
Menurut beliau, sekiranya jumlah peratus pengundi yang keluar berkurangan, maka Pakatan Harapan akan menghadapi kesukaran untuk menawan Putrajaya.
Tambahan kepada itu, pengundi yang berada di luar kawasan akan menghadapi masalah untuk pulang ke kawasan untuk mengundi. Kesukaran anak muda balik ke kawasan untuk mengundi akan membantutkan kemenangan Pakatan Harapan.
“Walaupun saya dimaklumkan bahawa 9 Mei 2018, hari Rabu adalah cuti peristiwa khas kepada semua sekolah harian, pengundi luar kawasan masih akan menghadapi masalah untuk pulang dan balik semula selepas mengundi”, ujar beliau.
“Saya akan membawa kertas cadangan kepada Sekretariat Pakatan Harapan, untuk mempertimbangkan bahawa sekiranya Pakatan Harapan menang Putrajaya, 10 Mei 2018 (Khamis) akan diumumkan sebagai cuti peristiwa tambahan.
Pasti ini akan menyenangkan dan melegakan pengundi untuk pulang mengundi dan kembali ke kawasan masing – masing tanpa sebarang kesukaran.
Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah di dalam sidang medianya hari ini telah mengumumkan bahawa hari pengundian bagi pilihan raya umum ke-14 ditetapkan pada 9 Mei 2018, manakala tarikh penamaan calon pada 28 April 2018, manakala Pengundian awal pula ditetapkan pada 5 Mei 2018 dan tempoh berkempen selama 11 hari.