KUALA LUMPUR, 26 OKT – PAS menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau diancam berikutan kritikannya terhadap kerajaan Israel dalam isu perang di Gaza sebagai pelik malah melucukan.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyudin Hassan berkata, kenyataan berbentuk alarmist itu hanya bertujuan untuk menonjolkan kehebatan dan kepentingan Anwar yang sudah menjadi ciri kekal pentadbirannya sehingga kini masih terkial-kial dalam mendapatkan sokongan serta kepercayaan awam.
“Lebih malang lagi, dakwaan itu dibuat dalam acara yang sepatutnya didedikasikan sepenuhnya kepada perjuangan rakyat Palestin, bukan menunggangnya untuk menunjukkan kehebatan seseorang pemimpin,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kenyataan tersebut juga boleh menimbulkan imej tidak positif terhadap negara kerana Anwar membuat dakwaan rambang dan khayalan sedemikian.
Jelas Takiyuddin, pendirian tegas Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin dan mengkritik Israel sudah diketahui umum dan bukanlah berita baharu.
“Perdana Menteri terdahulu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun Datuk Seri Ismail Sabri diketahui sangat lantang dalam isu ini, namun tiada pula ancaman dilaporkan,
“Malah Malaysia juga mempunyai hubungan rasmi dengan kerajaan Palestin dan juga Hamas di bawah kepimpinan sebelum ini,
“Jadi kenapa pula Anwar tiba-tiba diancam dan ancaman itu pula adalah dalam bentuk kenyataan yang dibuat oleh ahli-ahli Parlimen?” soalnya lagi.
Takiyudin berkata, sekiranya ancaman yang dimaksudkan itu benar-benar wujud dan berlaku, Anwar sebagai ketua kerajaan sepatutnya mengambil langkah wajar.
“Panggil duta atau wakil negara terbabit bagi menyampaikan bantahan Malaysia, bukan membuat kenyataan terbuka tanpa penjelasan mengenainya,” jelas Ahli Parlimen Kota Bharu itu.
Semasa Himpunan Malaysia bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, Selasa lau, Anwar mendedahkan, beliau mula menerima ugutan daripada beberapa kuasa besar dunia susulan kelantangan Malaysia memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Namun, beliau menegaskan, tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan bagi memperjuangkan kebebasan buat Palestin daripada penindasan serta pembunuhan oleh rejim Zionis. -airtimes.my
#semasa #airtimes #PAS #Anwar #ugutan