Kerajaan Taiwan dilaporkan mahu mempertingkatkan pembelian misil pertahanan udara aras rendah dari Amerika Syarikat.
Perolehan tersebut melibatkan hampir 2,500 unit pelancar FIM-92 Stinger yang akan mula diterima secara berperingkat mulai tahun hadapan.
FIM-92 Stinger merupakan misil pertahanan udara aras rendah yang dilancarkan dari bahu dan mampu untuk menggempur sasaran sejauh 4.8 kilometer.
Menurut laporan media Taiwan, pihak berkuasa Taipei telah mengubah perancangan asal perolehan yang berjumlah 545 unit misil bagi kegunaan pasukan tenteranya.
“Penambahan pembelian misil itu dibuat berikutan situasi semakin tegang di kawasan Selat Taiwan,
“Pencerobohan pesawat tentera China ke dalam zon pengenalan pertahanan udara Taiwan telah menimbulkan keperluan untuk meningkatkan keupayaan pertahanan angkasa dari pesawat serta dron,” kata laporan itu yang memetik sumber kerajaan.
Menurutnya, penghantaran pertama Stinger pada tahun 2025 akan digunakan bagi mempertahankan Pulau Pratas yang turut menjadi titik tuntutan bertindih antara Taiwan dan China.
Selain itu, misil tersebut turut digunakan di pulau-pulau yang diduduki Taiwan di Kepulauan Spratlys.
Penghantaran seterusnya dilaporkan akan lengkap pada tahun 2031.
Ketegangan antara China dan Taiwan mula memuncak selepas Presiden Tsai Ing-wen dipilih untuk meneraju Taipei pada tahun 2016. Selain itu, China turut mempertingkatkan operasi penerbangan dan pelayaran kapal mereka di kawasan berhampiran Taiwan selepas lawatan Spekaer Dewan Perwakilan Amerika Syarikat pada tahun 2022.
Taiwan menganggap mereka sebagai sebuah negara berdaulat. Namun, tuntutan tersebut telah ditolak oleh China yang menegaskan Taiwan adalah sebahagian daripada wilayah kuasa besar Asia itu.
Selain itu, Beijing turut mengancam akan mengambil tindakan drastik sekiranya Taipei terus berkeras dengan pendirian mereka. – airtimes.my
#AirTimes #China #Taiwan #Stinger #Global