KUALA LUMPUR, 23 Jan – Bersempena sambutan Tahun Baru Cina semalam, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak ketinggalan untuk bercerita bagaimana masyarakat kaum Cina amat dekat dalam kehidupannya.
“Masyarakat kaum Cina bukanlah asing dalam kehidupan saya. Datuk saya memiliki ramai anak angkat daripada kaum Cina, sama ada yang memeluk agama Islam atau pun tidak. Mereka menjadi sebahagian daripada keluarga saya,
“Ketika berlaku Perang Dunia Kedua, terdapat pelarian Cina yang datang ke Pantai Timur. Datuk saya pernah menyelamatkan seorang pelarian Cina bukan Islam dan disembunyikan di kebunnya, ketika itu beliau merupakan seorang penghulu kampung,
“Kebetulan pula salah seorang menantu saya sendiri daripada kaum Cina, menunjukkan hubungan keluarga kami dengan masyarakat kaum Cina bukanlah perkara baru,” katanya dalam hantaran di media sosial pada Isnin.
Abdul Hadi berkata, selepas majlis sambutan Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur bersama pimpinan Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan semalam, beliau bergegas pulang ke Kampung Rusila, Terengganu bagi meraikan sambutan tersebut bersama anak dan menantu.
Menerusi akaun media sosialnya, Abdul Hadi turut berkongsi beberapa keping gambarnya bersama keluarga besar dengan berbaju serba merah sebagai menyambut perayaan tersebut.
Dalam hantaran yang sama, Abdul Hadi turut menasihatkan supaya perayaan Tahun Baru Cina dapat menjadi platform untuk mengeratkan hubungan sesama manusia dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. -airtimes.my