KUALA LUMPUR, 31 Dis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan rondaan dan pemantauan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang ambang tahun baharu 2022 malam ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, semua Pesuruhjaya Polis Negeri, Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah diarah untuk meningkatkan rondaan di lokasi yang sering menjadi tumpuan orang ramai berkumpul sempena tahun baharu.
“Tujuan rondaan pemantauan adalah untuk memastikan SOP PPN mengikut fasa dipatuhi di samping mengelak orang ramai berkumpul bagi mencegah penularan wabak COVID-19,
“Tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) boleh dikenakan ke atas mana-mana pihak yang melanggar SOP PPN tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
“Kerjasama semua pihak dalam aspek ini adalah penting memandangkan pandemik COVID-19 masih merupakan ancaman kesihatan serius yang perlu dibendung,”tambahnya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, kerajaan membatalkan Sambutan Tahun Baharu 2022 dan digantikan dengan solat hajat serta doa selamat pada malam ini.
Beliau berkata, aktiviti itu dilakukan bagi menghormati dan bersimpati dengan mangsa banjir yang melanda beberapa negeri sejak 18 Disember lalu.
“Dengan itu, saya mengajak Keluarga Malaysia untuk solat Maghrib berjemaah, solat hajat dan doa selamat di Masjid Putra, Putrajaya pada 31 Disember 2021,
“Bagi mereka yang tidak berpeluang hadir, boleh mengikuti siaran secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV Al-Hijrah,
“Kesemua masjid-masjid di seluruh negara, terutamanya masjid negeri, menganjurkan majlis yang sama,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya, malam tadi. -airtimes.my