PUTRAJAYA, 13 Apr – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan terdapat sub-kluster baharu bagi kes postif COVID-19 iaitu kluster PUI Bali.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua sub-kluster itu di dikesan di Kuantan, Pahang susulan aktiviti pengesanan, penyaringan, ujian ke atas kumpulan sasar yang berisiko tinggi di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, kluster pesakit di Bawah Siasatan (PUI) Bali di Kuantan ini merupakan kluster membabitkan golongan pesakit dan beberapa petugas kesihatan dari sebuah pusat perubatan di Kuantan.
“Sehingga hari ini, 20 orang dikenal pasti dalam kluster ini iaitu 14 orang sedang dirawat di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang,
“Dimana dua orang daripada mereka sudah sembuh manakala tiga lagi masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan seorang telah meninggal dunia iaitu kes ke-1,575,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, daripada keseluruhan jumlah tersebut, terdapat tiga anggota kesihatan yang terlibat dalam kluster ini.
“Kes indeks iaitu kes ke-4,684 bagi kluster ini mempunyai sejarah perjalanan ke Bali, Indonesia. Beliau kemudian mempunyai kontak rapat dengan kes ke-1,575 iaitu abang kepada pesakit berkenaan,
“Kes ke-1,575 kemudian telah menjangkiti tujuh kes generasi kedua dan 11 kes generasi ketiga,” katanya.
Menurutnya, terdapat 339 kontak rapat yang telah dikenal pasti dan ujian saringan COVID-19 sudah dijalankan termasuk 202 anggota kesihatan.
Dalam masa yang sama, Dr Noor Hisham turut mengesahkan satu kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang terkorban seramai 77 orang.
“Kes tersebut (kes 2,797) merupakan seorang lelaki warga Malaysia berumur 62 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit jantung, darah tinggi dan buah pinggang,
“Beliau mempunyai kontak rapat kepada kes indeks kes ke-703 dan dirawat Hospital Melaka pada 31 Mac 2020 serta disahkan meninggal dunia pada 13 April 2020, jam 9.15 pagi,” tambah Dr Noor Hisham.