KUALA LUMPUR, 27 FEB – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi), Datuk Seri Azalina Othman hari ini menegaskan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah penting demi keadilan rakyat Malaysia.
Jelasnya, terdapat banyak persoalan timbul ketika Malaysia menarik balik semakan Pulau Batu Puteh yang dibuat pada tahun 2018.
“Kita tidak kalah dalam pertikaian ini di mahkamah. Malah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sendiri pernah menyebut bahawa batuan itu pernah menjadi milik Kesultanan Johor Lama,
“Rakyat Malaysia khususnya rakyat negeri Johor wajar diberikan penjelasan mengenai sebab dan faktor sebenar yang mendorong keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan permintaan tafsiran kes kedaulatan Batu Putih, Batuan Tengah dan Tubir Selatan,
“Perkara sebegini tidak patut berulang lagi pada masa hadapan,” katanya.
Menurut beliau, RCI juga diberikan beberapa kuasa penting dalam menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mendapatkan kebenaran fakta.
Azalina menyatakan perkara tersebut dalam Sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.
Antara kuasa yang diberikan adalah untuk memanggil orang untuk memberi keterangan, mengeluarkan waran tangkap dan juga denda kepada yang ingkar.
Beliau menambah, penubuhan RCI bertujuan untuk mencari fakta bagi pihak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membolehkan pelaksanaan siasatan lanjut dan terperinci secara bebas.
Jelas Azalina, Pasukan Petugas Khas (PPK) yang ditubuhkan pada tahun 2021 sebelum ini berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam melaksanakan siasatan selama 10 bulan.
[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=4_Lm5R1Si7A[/embedyt]
“Antara cabaran yang dihadapi termasuklah kesukaran dan kelewatan untuk memperoleh dokumen terperingkat yang berada dalam simpanan Kementerian jabatan individu tertentu,
“Kementerian dan jabatan berkepentingan individu tertentu kurang memberikan input dan pandangan,” katanya.
Cabaran lain yang didedahkan oleh Azalina ialah kesukaran untuk memperoleh dokumen disebabkan oleh perintah perlindungan akses terhadap dokumen dan material.
Selain itu, PPK tidak mempunyai kuasa untuk memanggil saksi dan mendapatkan dokumen berkaitan.
“Malah laporan PPK juga menyatakan bahawa terdapat sesetengah pihak yang enggan untuk memberikan Kerjasama atas sebab peribadi dan profesional,
“Dalam hal ini,PPK tidak berupaya untuk mengesahkan fakta dan menjalankan siasatan secara efektif dan menyeluruh kerana PPK tidak mempunyai sebarang kuasa yang jelas dalam mana mana perundangan,” katanya.
Azalina menambah, cabaran ini berlaku kerana PPK tidak mempunyai kuasa seperti mana yang terdapat pada RCI.
Tambahnya, matlamat utama RCI adalah untuk mendapatkan penemuan dan juga penerangan lanjut yang berkaitan dengan mengambil kira cabaran yang telah dihadapi oleh PPK dalam menyediakan hasil penemuan.
“Selain itu, RCI mengkaji dan menyediakan pandangan jika mana-mana pihak yang berkaitan dengan melanggar sebarang undang-undang, norma kerja ataupun pekelilingan pentadbiran dalam pelaksanaan tanggungjawab,” katanya.
Jelas Azalina, RCI juga bermatlamat untuk menilai, mengenal pasti dan mencadangkan syor berkenaan dengan tindakan perundangan dan bukan perundangan yang boleh diambil.
“RCI juga akan menyediakan laporan yang mengandungi hasil kajian, analisis dan syor yang berkaitan untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” ujar beliau.
Jelas Menteri Undang-undang, tempoh masa ditetapkan bagi RCI ini adalah selama 3 bulan dan maksimum 6 bulan dengan mengambil kira skop siasatan yang luas serta kompleksiti isu yang terlibat.
“Laporan RCI nanti akan disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan,
“Laporan RCI ini seterusnya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri supaya tindakan sewajarnya dapat dipertimbangkan untuk diambil berdasarkan hasil kajian ke arah pengendalian yang lebih berkesan berkenaan isu kedaulatan negara,” katanya.
Azalina menegaskan bahawa kerajaan turut memberikan komitmen agar laporan Siasatan Diraja ini akan dibentangkan di Parlimen.
“RCI adalah merupakan medium yang paling baik supaya siasatan yang menyeluruh dapat dijalankan berdasarkan input supaya dapat siasatan adalah komprehensif dan bebas,
“Ia dapat memberi penjelasan yang menyeluruh kepada rakyat Malaysia berkaitan dengan kes kedaulatan ini,” katanya. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Semasa #RCI #BatuPuteh