KUALA LUMPUR, 1 Sept – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini menegaskan surat sokongan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham untuk anaknya merupakan satu tindakan salah guna kuasa.
“Tindakan mengeluarkan surat sokongan oleh beliau dengan melantik anaknya sendiri sekali dengan persetujuan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri jelas melanggar salah satu kesalahan SPRM iaitu meminta rasuah atau habuan,
“Tindakan untuk mendapat habuan (jawatan) tersebut telah genap dan lengkap apabila Ismail sabri bersetuju dengan surat sokongan itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP, hari ini.
Guan Eng menambah, sudah terlambat untuk Ikmal untuk memperbetulkan keadaan walaupun sokongan tersebut telah ditarik balik.
“Ikmal telah mengaku salah iaitu bahawa beliau sendiri telah menulis serta menarik balik surat tersebut,
“Sudah terlambat untuknya menafikan tanggungjawab kerana beliau sudah melakukan tindakan mengeluarkan surat tersebut,” kata Ahli Parlimen Bagan.
Beliau menambah, isu tersebut telah jelas melibatkan 3 kesalahan iaitu salah guna kuasa, nepotisme dan rasuah.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat dan ambil tindakan dalam isu ini kerana Ikmal meminta jawatan yang menguntungkan anaknya sendiri dengan menggunakan kedudukan beliau sebagai Timbalan Menteri,
“Sehingga kini, SPRM tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Ikmal,” ujarnya.
Pada 23 Ogos lalu, Ikmal mengakui rasa kesal dan mengambil iktibar berikutan pengeluaran surat sokongan terhadap anaknya untuk dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga yang telah tular di media sosial.
Selain itu, Ketua Persuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Bakri menegaskan penggunaan surat sokongan adalah tidak menyalahi undang-undang selagi bukan untuk kepentingan diri atau saudara-mara. – airtimes.my