CANBERRA, 9 JAN – Kerajaan Australia telah memutuskan untuk tingkat upaya jet pejuang F/A-18 F Super Hornet.
Kementerian Pertahanan Australia dalam satu kenyataan berkata, kontrak tingkat upaya bernilai AUS$600juta itu turut merangkumi projek tingkat upaya EA-18G Growler yang dioperasikan oleh tentera udara negara benua itu.
Ini sekaligus memastikan kedua-dua jet pejuang tersebut terus beroperasi sehingga tahun 2030.
“Pelanjutan kontrak selama lima tahun, yang dianugerahkan kepada Boeing Defence Australia akan menyaksikan sokongan berterusan untuk Super Hornet dan Growler sehingga 2030,
“Ini bagi memastikan pengekalan tenaga kerja pakar berkemahiran tinggi untuk jangka panjang di Pangkalan RAAF Amberley,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, kerja-kerja kejuruteraan, penyelenggaraan dan pengurusan projek untuk pengekalan serta tingkat upaya armada akan dilaksanakan oleh industri pertahanan negara itu.
Kenyataan itu menambah, pelanjutan kontrak itu dilakukan apabila EA-18G Growler telah mencapai keupayaan operasi yang terakhir.
Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) mengoperasikan 24 buah F/A-18F Super Hornet. Ia dioperasikan oleh No. 1 Squadron di Pangkalan RAAF Amberley.
EA-18G pula merupakan jet pejuang F/A-18F khusus untuk peperangan elektronik. Pesawat ini berupaya untuk mengganggu, memperdaya mahupun menafikan rangkaian sistem elektronik ketenteraan, termasuk radar dan komunikasi. Keupayaan ini dicapai dengan pemasangan sistem ALQ-99 Tactical Jamming System.
12 buah EA-18G Growler RAAF dioperasikan No. 6 Sqn yang ditempatkan bersama No. 1 Sqn. Ia turut dilengkapi dengan siri misil anti radiasi, AGM-88 HARM. Misil ini digunakan untuk menggempur radar dengan berpandukan isyarat yang dihasilkan dari sistem pemancar pada sasaran. – airtimes.my
#AirTimes #TeknologiPertahanan #SuperHornet #Growler #Australia #RAAF