KUALA LUMPUR, 13 Okt – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan Sabah tidak akan diserahkan kepada Filipina dan Kerajaan akan terus mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia.
Beliau berkata, keputusan pengisytiharan di Mahkamah Paris telah diserahkan oleh Penimbang Tara Gonzalo Stampa pada 28 Februari lalu yang bertujuan mengisytiharkan pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu dengan tuntutan berjumlah AS$14.92 bilion.
“Apabila saya menyatakan bahawa pengisytiharan keputusan Mahkamah Paris tersebut merupakan ‘tuntutan peribadi’, ia merujuk kepada tuntutan yang dibuat individu persendirian (pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu) dan bukan tuntutan Kerajaan Filipina,
“Selanjutnya, apabila saya menyatakan bahawa tuntutan Sulu dan pengisytiharan keputusan Mahkamah Paris tidak ada kena mengena dengan soal kedaulatan, kenyataan itu merujuk kepada konteks kedaulatan wilayah sama ada wujud kemungkinan Sabah diserahkan kepada Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, tuntutan oleh pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu ini merupakan suatu provokasi dan pelanggaran ke atas kedaulatan serta kepentingan ekonomi Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Pada masa ini, pihak berkenaan sedang menggunakan proses timbang tara yang merupakan mekanisme undang-undang antarabangsa persendirian untuk menyerang kepentingan kedaulatan Malaysia di luar negara,
“Proses tersebut bukan saja disalah guna tetapi juga suatu bentuk provokasi ke atas kedaulatan dan kepentingan Malaysia,” jelasnya.
Wan Junaidi berkata demikian sebagai memberi penjelasan kepada soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin di Parlimen pada 6 Oktober lalu berhubung isu pertikaian timbang tara antara pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu serta Kerajaan Malaysia.
“Sebagai penjelasan kepada jawapan saya mengenai persoalan sama ada Sabah berkemungkinan menjadi sebahagian daripada Filipina susulan keputusan pengisytiharan di Mahkamah Paris,
“Ingin saya tegaskan bahawa situasi ini tidak akan berlaku,” ujarnya. – airtimes.my