SHAH ALAM, 29 Okt – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru agar akhlak mulia dan kebijaksanaan Rasulullah SAW di dalam menyatupadukan umat dijadikan contoh oleh ahli politik supaya bersatu padu dan menyokong penuh usaha kerajaan sedia ada dalam mengatasi masalah penularan wabak COVID-19.
Sultan Selangor bertitah demikian sempena perutusan sambutan Maulidur Rasul 1442 Hijrah menerusi laman facebook Selangor Royal Office hari ini.
“Rakyat sedang berhadapan dengan kemelut ekonomi yang merudum akibat wabak COVID-19 ini,
“Justeru itu, baginda mahu ahli-ahli politik bersatu dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik demi memastikan rakyat terus hidup aman damai, makmur dan harmoni,” titah baginda.
Titah Sultan Sharafuddin lagi, perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan adalah amat penting untuk meneruskan agenda pembangunan, membina kekuatan dan mendaulatkan negara.
“Baginda Sultan bertitah agar sekalian rakyat menghayati dan mengamalkan ajaran Islam sepertimana yang diajar dan dibimbing oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW,
“Baginda Rasulullah SAW adalah seorang insan mulia dan agung yang merupakan anugerah Allah kepada umat manusia di mukabumi ini. Baginda merupakan seorang Khalifah kepada sekalian umat yang mengajar manusia tentang persaudaraan, akhlak yang mulia serta erti kehidupan yang sebenarnya,” titah Sultan Selangor.
Oleh itu, sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini, Sultan Selangor menyeru umat Islam supaya terus menghayati dan menghidupkan dua peninggalan Rasulullah SAW iaitu Al-Quran dan As-Sunnah dalam kehidupan harian. – airtimes.my