PUTRAJAYA, 19 Mei – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan beliau akan melepaskan jawatannya selaku Menteri Besar sekiranya mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menurut Mohamed Azmin, beliau akan menghadap baginda dalam masa terdekat bagi membincangkan tugas baharu di peringkat Persekutuan seperti mana yang dimaklumkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Sehingga hari ini saya masih lagi memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor namun, sekiranya keputusan dibuat untuk saya membantu kerajaan Persekutuan saya akan lepas jawatan berkenaan.
“Perkara ini akan dimaklumkan kepada baginda terlebih dahulu kerana melibatkan jawatan Menteri Besar Selangor, proses ini perlu berlangsung dalam keadaan baik, teratur dan tertib,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Dr. Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini bagi membincangkan peranannya selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi.