LOMBOK, 2 Nov – Global Peace Mission (GPM) Malaysia ‘berkampung’ di Indonesia untuk menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan bagi memastikan penduduk di provinsi yang menjadi mangsa kejadian gempa bumi dan tsunami di negara itu bangkit semula.
Ketua Misi GPM Ahmad Hamizan Ahmad Horman berkata pihaknya sudah berada di negara berkenaan kira-kira 16 hari bagi menyampaikan bantuan kepada penduduk tempatan di Sulawesi Tengah, Palu dan Lombok yang terjejas akibat bencana alam itu.
“Sebelum ini, kami berada di Palu kira-kira 12 hari untuk memberi 1,000 sumbangan pek makanan, bantuan perubatan dan membangunkan ‘Peace Village’.
“Dari Palu kami terus ke Lombok dan sudah berada di sini kira-kira empat hari bagi membantu penduduk yang terjejas menghadapi fasa pemulihan akibat gempa bumi beberapa bulan yang lalu,” katanya kepada Bernama yang mengikuti misi bantuan #peduligempalombok6.0 di sini, hari ini.
Beliau berkata tumpuan misi kali ini adalah untuk membina rumah sementara kepada penduduk Lombok yang terjejas akibat gempa bumi yang melanda destinasi pelancongan terkenal itu pada Julai dan Ogos.
“Pada September, kami telah menyerahkan sumbangan pek makanan dan kit bayi di Lombok dan kini kembali bagi membantu menyiapkan tempat tinggal mereka yang musnah akibat bencana alam itu,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Hamizan berkata GPM merancang untuk kembali ke Palu pada minggu depan bagi meneruskan misi kemanusiaan di ibu kota provinsi Sulawesi Tengah itu.
Lombok kini sedang dalam fasa baik pulih, selepas digegarkan dengan gempa berukuran 6.4 pada skala Richter pada 29 Julai, disusuli gegaran kedua pada 5 Ogos, berukuran 7 pada skala Richter.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang ingin menyalurkan bantuan boleh membuat sumbangan dalam talian www.billplz.com atau deposit kepada akaun GLOBAL PEACE MISSION, Maybank 5642 2161 1602, atau Bank Islam 1402 3010 02922 4. – BERNAMA