KUALA LUMPUR, 2 Feb – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) hari ini mengesahkan pihaknya bersama 6 badan bukan kerajaan (NGO) telah mengemukakan saman untuk cabar perintah darurat.
Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi bagi menentukan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 dan Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berpelembagaan .
Selain itu, saman tersebut turut meminta mahkamah untuk meneliti seksyen 14 Ordinan Darurat.
Dalam satu kenyataan bersama Bersih 2.0 dan NGO-NGO lain, tindakan mengantung Parlimen adalah satu langkah yang drastik.
“Proklamasi Darurat ini melampaui Perlembagaan dan tidak sejajar dengan keadaan semasa,
“Penggantungan Parlimen memberi kesan kepada kami,
“Ini kerana tiada sebarang penyelesaian berjaya dicapai kerana tiada persidangan Dewan Rakyat,” kata kenyataan itu.
Menurutnya lagi, perlaksanaan darurat akan menghancurkan negara kerana hilangnya mekanisme semak dan imbang.
“Ketiadaan mekanisme semak dan imbang akan menjadikan kerajaan yang drakonian dan kleptokratik,
“Kami yakin kerajaan sudah mempunyai kuasa yang mencukupi untuk tangani COVID-19,
“Oleh itu, Parlimen tidak perlu digantung melalui Ordinan Darurat,” ujarnya.
Menurut kenyataan itu, langkah ini dilakukan demi kepentingan umum dan mempertahankan kedaulatan undang-undang.
“Oleh itu, kami meminta pihak mahkamah untuk menentukan kuasa keperlembagaan Parlimen dan Badan Kehakiman dalam mempertahankan sistem semak dan imbang negara,” jelasnya.
Selain Bersih 2.0, kenyataan ini turut ditandatangani oleh Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Center of Independent Journalism (CIJ), Aliran, Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor, Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia serta Save Rivers. – airtimes.my