KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini menegaskan kerajaan tidak akan menubuhkan semula pasukan taktikal khas polis yang telah dibubarkan sebelum ini.
Pasukan yang dimaksudkan ialah Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Khas Jenayah Terancang (STAFOC).
“Kerajaan tidak berhasrat untuk menubuhkan kesemua skuad taktikal khas tersebut,” katanya di Parlimen pada hari ini.
Menurut beliau, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan kajian terhadap penubuhan semua pasukan taktikal khas tersebut.
“Pada Julai 2018, kerajaan telah memutuskan supaya ianya dibubarkan supaya tidak berlaku pertindihan dengan fungsi PDRM yang sedia ada,” katanya.
Kerajaan tidak akan hidupkan semula STAFOC, STAGG dan STING. Ini menggelakkan berlaku pertindihan fungsi jabatan-jabatan PDRM yang sedia ada.
Kesemua pasukan tersebut ditubuhkan pada tahun 2014.
STAGG menjalankan fungsi yang sama dengan D7A (Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) dan D7C (Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran).
Manakala itu, STING pula menjalankan peranan yang sama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.
Kesemua pasukan terbabit telah dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2019 sebagai langkah penstrukturan semula beberapa jabatan dalam PDRM. – airtimes.my