KUALA LUMPUR, 5 Nov – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain bekata, pendidikan adalah benteng pertahanan utama yang perlu diperkasakan dan dimantapkan lagi supaya memberi impak yang positif kepada anak-anak Tentera Darat Malaysia (TDM) yang masih di alam persekolahan.
TDM dalam hantaran di media sosialnya berkata, Zamrose telah menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) Anak-Anak Tentera Darat Tahun 2022 bagi Zon Tengah (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor) di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD, Kem Perdana Sungai Besi, semalam.
“Acara ini merupakan salah satu daripada 8 Inisiatif Pendidikan yang dilancarkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein,
“Inisiatif ini adalah kerjasama Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) beserta Bantuan Senggaraan Sekolah Dalam Kem (SDK) yang bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan galakan kepada anak-anak anggota tentera yang berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta yang berjaya melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA),” katanya.
Selain itu, anugerah ini turut mendapat kerjasama daripada Lembaga Tabung Haji dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang telah menyumbang dalam pemberian komputer riba serta bantuan senggaraan Pusat Komuniti Pendidikan Tentera Darat.
Majlis seumpama ini juga turut dilaksanakan di peringkat Formasi dan Pangkalan seluruh Malaysia secara decentralised dan dipecahkan mengikut beberapa zon.
Zamrose dalam ucapannya turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada para penyumbang atas segala bantuan yang telah dihulurkan serta mengharapkan kerjasama erat ini akan berterusan dalam menggalakkan anak-anak warga TDM meningkatkan pencapaian pendidikan. – airtimes.my