KUALA LUMPUR, 2 Sept – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menafikan laporan sebuah portal berita bertajuk ‘15 Usul Tukar Speaker di Tolak’ adalah tidak benar.
Azhar dalam kenyataan berkata, pejabatnya sememang telah menerima pemberitahuan usul-usul untuk beliau mengosongkan jawatan dan juga supaya individu lain dilantik sebagai Yang di-Pertuan Dewan Rakyat.
“Sebaik sahaja pejabat saya menerima usul-usul tersebut, saya telah utuskan surat kepada kesemua pengusul bahawa saya tidak akan sama sekali membuat apa-apa keputusan mengenai semua usul tersebut kerana saya mempunyai percanggahan kepentingan (conflict of interest),
“Apa-apa keputusan mengenai usul-usul tersebut diserahkan kepada Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon,” katanya.
Menurut Azhar, beliau tidak pernah mengambil bahagian dalam apa cara sekalipun atau campur tangan di dalam apa-apa keputusan mengenai usul-usul tersebut.
“Malah saya tidak tahu menahu mengenai apa-apa keputusan yang mungkin telah dibuat Timbalan Yang di-Pertua mengenai usul-usul itu,” jelasnya.
Pada masa sama, Azhar berkata, laporan berita tersebut adalah tidak benar dan bersifat pembohongan serta fitnah dengan niat untuk menjatuhkan reputasinya.
“Saya akan mendapatkan nasihat undang-undang mengenai perkara ini dalam masa yang terdekat,” ujarnya. – airtimes.my