[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=6FXiZ6ly9N4[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 10 Dis – Kerajaan sentiasa memandang serius laporan berita yang mendakwa kesediaan 600 anggota Tentera Diraja Sulu (RSA) untuk melancarkan operasi menawan Sabah.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut kerana dakwaan itu belum terbukti kesahihannya.
“Saya ada terbaca tadi perkara terbabit (laporan mengenai 600 anggota tentera sulu bersedia untuk menawan Sabah) apapun berita ini tidak dapat disahihkan lagi, jadi saya tak dapat beri ulasan lanjut,
“Bagaimanapun, saya percaya di pihak kerajaan sudah tentu apa sahaja maklumat berita, termasuk isu dibangkitkan Ahli Parlimen Padang Serai (M Karupaiya) akan dipandang serius,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab celahan Karupaiya berhubung pendirian kerajaan susulan laporan disiarkan South China Morning Post (SCMP), mendakwa operasi itu dirancang selepas beberapa siri pertemuan rahsia antara 19 datuk bandar dari selatan Filipina.
“Seramai 19 datuk bandar telah bersetuju untuk merekrut sekurang-kurangnya 600 orang anggota bersenjata bagi melaksanakan misi tersebut,
“Kos peluru dan logistik yang dianggarkan sebanyak AS$10,000 telah ditanggung oleh pegawai tinggi kerajaan,” menurut laporan itu. -airtimes.my