SUNGAI PETANI, 27 Mac – Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan kolaborasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menghasilkan sebuah buku ‘Somalia: Belang Harimau Besi’ yang mengisahkan tragedi pertempuran 27 tahun lalu oleh pasukan Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja Mekanise (19 RAMD) (Mek) di Bakara Market, Mogadishu, Somalia.
Buku ini telah dilancarkan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain di Dewan Zainal SP, Kem Lapangan Terbang, semalam.
TDM dalam hantaran di media sosialnya berkata, buku ini bertujuan untuk memaparkan fakta sebenar berkenaan tragedi berdarah di bumi Somalia pada tahun 1993 itu ketika menyertai pasukan Malaysian Battalion 1 (MALBATT 1), bagi melaksanakan misi UNOSOM II di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Ia juga sekaligus bermatlamat membetulkan tanggapan kurang tepat yang telah menidakkan pengorbanan dan perjuangan wira TDM ketika itu,
“Buku ini adalah hasil tulisan Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div), Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid,” katanya.
Mohd Halim ketika sidang media berkata, buku ini mengandungi hampir 200 gambar bagi menarik minat pembaca khasnya anak muda supaya dapat dihayati dan memberikan gambaran situasi tersebut ketika membacanya.
“Saya berharap hasil kolaborasi dengan DBP, buku ini dapat menjadi bahan bacaan teras yang wajib dibaca oleh pelajar sekolah agar generasi pada masa kini dapat menjiwai dan menghargai keamanan dan kemakmuran yang dikecapi selama ini,” jelasnya.
TDM juga berkata usaha mendokumenkan setiap kisah perjuangan warganya yang terlibat di dalam operasi sama ada di dalam negara mahupun ketika berkhidmat di bawah panji-panji PBB, sewajarnya disokong.
“Hal ini bagi memastikan generasi TDM masa kini dan juga rakyat Malaysia, mengetahui perit getir yang dilalui warga TDM dalam memastikan keamanan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” ujarnya.
Turut hadir Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hafizuddeain Jantan dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBP, Abdul Halim Harun. – airtimes.my
Gambar galeri: