KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) menyifatkan tindakan pihak polis yang melarang 34 orang aktivis masuk ke beberapa kawasan dalam Kuala Lumpur sebagai berlebihan dan melampau.
Penganjur himpunan #Lawan ini menegaskan, tindakan tersebut melampau walalupun pihak polis telah dimaklumkan secara rasmi bahawa himpunan kali kedua yang dijadualkan pada hari ini telahpun dibatalkan.
Menurut SSR, pihaknya telah dijemput oleh polis untuk berbincang mengenai himpunan tersebut.
“Di dalam perbincangan tersebut kami telah menyerah notis pembatalan protes yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu 21.8.2021 (hari ini) kepada Tuan Noor Dellhan, Ketua Polis IPD Dang Wangi,
“Namun, pihak polis telah memohon perintah mahkamah untuk melarang 34 orang aktivis masuk ke beberapa kawasan dalam Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
SSR menambah, pihak polis juga ke rumah aktivis tanpa notis dan dengan jumlah anggota yang ramai untuk menyerahkan perintah mahkamah.
“Kami beranggapan bahawa tindakan ini adalah berlebihan dan melampau. Ini adalah kerana ianya dijalankan tidak mengikut lunas yang betul,
“Tindakan ini adalah untuk menggertak para aktivis daripada menjalankan tanggungjawab dan hak demokratik mereka. Walaupun kami telah memberikan notis kepada pihak polis bahawa kami telah pun membatalkan perhimpunan tersebut,
“Kami ingin tegaskan juga bahawa segala aksi protes yang kami akan buat akan diuar-uarkan secara rasmi dan dibuat secara tertib berdasarkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,
“Kami tidak buat sesuatu perkara secara semberono dan acuh tidak acuh kerana setiap protes kami adalah untuk menggemakan suara dan tuntutan rakyat,” ujar mereka lagi.
Himpunan pertama #Lawan telah diadakan pada 31 Julai lalu di mana beberapa ratus peserta mengadakan perarakan di tengah-tengah ibu kota.
Semalam, Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Polis, Sarifudin Mohd Salleh telah mengesahkan 88 jalan di Kuala Lumpur akan dibuat penutupan bermula jam 9 pagi ini.
Penutupan itu dilakukan pada hari tunjuk perasaan #KeluarLawan kedua yang kini sudah dibatalkan, sepatutnya diadakan.
Antara lokasi yang terjejas termasuk semua jalan di sekitar Masjid Jamek dan Dataran Merdeka di mana tunjuk perasaan #Lawan pertama diadakan pada 31 Julai lalu.
Pihaknya juga menasihatkan kepada warga kota Kuala Lumpur terutama kepada pengguna – pengguna jalan raya agar mengelakkan diri dari menggunakan laluan tersebut serta patuh kepada anggota yang sedang bertugas bagi memastikan kelancaran lalulintas.-airtimes.my