KUALA LUMPUR, 10 OKT – Dijangkakan seramai 5,000 peserta bakal menyertai Himpunan Aman Solidariti Mempertahankan Bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa yang akan diadakan di Masjid Negara, pada Jumaat ini.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, himpunan anjuran Pemuda PAS dan Perikatan Nasional (PN) itu dijadual bermula selepas solat Jumaat bagi menunjukkan tanda bantahan serta solidariti terhadap nasib rakyat Palestin.
“Pemuda PAS mengikut rapat pertempuran besar-besaran yang sedang berlaku ke atas saudara seagama di tanah berdaulat Palestin hari ini,
“Peperangan ini adalah satu simbolik penting kebangkitan penduduk di sana setelah sekian lama dipenjarakan di negara sendiri oleh Zionis dan diperlakukan dengan segala bentuk penindasan, rampasan tanah-tanah, hak milik serta pencerobohan Masjid Al-Aqsa iaitu tempat suci ketiga umat Islam,
“Ratusan nyawa terkorban malah ribuan juga tercedera yang kebanyakannya adalah golongan wanita, kanak-kanak serta warga tua,
“Tindakan kejam serta tidak berperikemanusiaan rejim Zionis ini mewajarkan kami untuk bertindak dan tidak berdiam diri di saat saudara seagama diperlakukan dengan zalim,” katanya dalam sidang media pengumuman mengenai himpunan itu di Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam masa yang sama, Afnan Hamimi berkata, isu Palestin ini bukanlah semata-mata isu umat Islam, tetapi ia adalah isu kemanusiaan.
“Adapun dari sudut kemanusiaan, ia adalah satu isu sejagat. Bukan sahaja kepada umat Islam, bahkan kepada seluruh rakyat Malaysia,
“Apabila rakyat Palestin dinafikan hak mereka, dirampas tanah air mereka, di kepung sebagaimana berlaku di Gaza. Konflik yang berlaku sejak Ahad lalu merupakan luar biasa yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Pemuda PAS, menyeru kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia untuk turun bersama-sama di Masjid Negara bagi menyatakan bantahan dan solidariti kita terhadap nasib rakyat Palestin.
“Kita nyatakan ketegasan kita dalam mempertahankan kemuliaan tanah Palestin dan Masjid Al-Aqsa, daripada terus dihina dan diceroboh sesuka hati oleh Israel dan Zionis,
“Marilah kita bersatu hati, tanpa mengira bangsa dan agama, mahupun fahaman politik, untuk bersolidariti bersama-sama demi kemanusiaan sejagat dan khusus buat umat Islam ialah saudara seagama kita,” ujarnya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin memaklumkan, lebih 123,000 orang hilang tempat tinggal di Gaza akibat serangan berterusan Israel.
Ia susulan serangan udara dan tembakan oleh Israel yang memusnahkan rumah dan bangunan pangsapuri, dengan 4 menara kediaman besar di Gaza City musnah. -airtimes.my
#Malaysia #Palestin #himpunan #airtimes #semasa