KALABAKAN, 17 Mac – Tindakan seorang lelaki cuba memberi sogokan RM100 dan 6 buah tin minuman ringan kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk mengelak rakannya ditahan kerana pasport sudah tamat tempoh menerima padah apabila ditahan di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP), semalam.
Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, suspek berusia 64 tahun yang memandu kenderaan Toyota Land Cruiser bersama seorang lelaki berusia 61 tahun dalam perjalanan dari Tawau menuju Keningau.
Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superintendan Mohd Yacob Murad berkata, ketika ditahan oleh anggota PGA dan RELA untuk pemeriksaan, pemandu kenderaan tersebut memberi plastik berisi 6 tin minuman ringan serta wang tunai berjumlah RM100.
“Semasa ditahan pemandu kenderaan jenis Toyota Land cruiser telah mendekati anggota PGA dan memberi minuman ringan yang dibungkus dalam plastik putih dan sejumlah wang tunai berjumlah RM100.00 untuk tujuan dilepaskan dari ditahan oleh petugas RCP,
“Pemeriksaan awal keatas kenderaan tersebut terdapat 2 lelaki berusia 61 tahun dan 64 tahun, manakala, seorang daripada mereka memegang dokumen perjalanan tamat tempoh,
“Susulan itu, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan dan barangan termasuk wang tunai serta kenderaan turut dirampas,” jelasnya.
Mohd Yacob menjelaskan, kedua-dua mereka ingin menuju ke Daerah Keningau untuk berjumpa dengan keluarga yang berada disana.
Tambahnya, turut dirampas sebuah kenderaan jenis Toyota Land cruiser berwarna hitam dan wang tunai RM100.00. Kesemua nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM150,100.00.
Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat dibawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. -airtimes.my