BENTONG, 1 Sept – Polis Bentong menafikan berlakunya rompakan atau kebakaran di SkyCasino, Genting Highlands, seperti didakwa dalam satu rakaman video yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video dalam bahasa Hokkien melalui satu akaun TikTok yang memaklumkan berlaku rompakan atau kebakaran di SkyCasino, semalam.
“Antara kenyataan di dalam video berkenaan adalah kasino tidak dapat dimasuki, orang di dalam kasino tidak dapat keluar serta pintu kasino sudah dikunci,
“Individu itu juga mendakwa mungkin berlaku rompakan atau kebakaran menyebabkan kesesakan di luar pintu kasino dan tidak boleh ke stesen kereta kabel kerana semua laluan ditutup,
“Malah, tempahan bilik juga tidak boleh dilakukan kerana semua kaunter ditutup. Individu itu mendakwa orang di dalam kasino tidak dapat keluar, manakala orang di luar tidak dibenarkan masuk,” katanya.
Zaiham berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung perkara itu.
“Hasil siasatan dilakukan mendapati tiada kejadian rompakan berlaku seperti didakwa di dalam video tular berkenaan,
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan sesuatu yang boleh menimbulkan kegusaran atau menjejaskan ketenteraman awam,” tegasnya.
Sementara itu, pihak Resort World Genting dalam kenyataan memaklumkan bahawa pengatup kebakaran di pintu masuk SkyCasino terputus disebabkan penggera kebakaran palsu yang tercetus.
Menurut notis yang dikongsikan itu, insiden tersebut berlaku pada Selasa dan berjaya diselesaikan dalam tempoh 15 minit. -airtimes.my