KUALA LUMPUR, 29 Mei – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyiasat berhubung skandal berkaitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk isu pembelian kapal selam Scorpene secara rapi dan terperinci.
Perbincangan berkenaan akan dibincang bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan barisan Kabinet lain.
“Kita akan bincang dengan Perdana Menteri serta Kabinet mengenai nama-nama bagi mengisi jawatankuasa itu dan ia akan diumumkan kemudian, katanya.
“Bagaimanapun, sudah tentu individu dalam jawatankuasa tersebut terdiri orang yang berpengalaman, berwibawa dan lebih arif dalam bidang siasatan,” katanya kepada pemberita dalam temu bual eksklusif bersama tiga agensi media tempatan di Wisma Pertahanan semalam.
Ketika ditanya adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terlibat dalam siasatan berkenaan, Mohamad berkata, ia bergantung kepada jawatankuasa tersebut.
“Buat masa ini kami tidak boleh menetapkan tempoh masa yang jelas untuk melengkapkan jawatankuasa ini secara sepenuhnya kerana skop kementerian ini agak luas,” katanya.