PUTRAJAYA, 4 Jul – Susulan kematian Adam Rayqal Bin Mohd Sufi berusia lima bulan, Ketua Wanita Pakatan Harapan, Zuraida Kamaruddin mengesyorkan supaya setiap penjaga kanak-kanak diberikan latihan mencukupi dan memudahkan proses mendapatkan lesen operasi yang sah.
Katanya, ia bertujuan untuk membolehkan pemantauan dilakukan dengan lebih berkesan.
Menurutnya, isu penjagaan kanak-kanak di negara ini perlu diberikan perhatian terus dan kerjasama antara pihak berkuasa, pusat jagaan kanak-kanak dan ibu bapa perlu ditingkatkan demi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang lagi.
“Terdapat dua topik yang dinyatakan di dalam aspirasi Wanita Harapan melalui Agenda Wanita Malaysia (AWM) bagi mempertingkatkan keupayaan dan keberkesanan para penjaga (caretaker) sama ada untuk warga emas atau kanak-kanak di Malaysia.
“Terdapat keperluan tinggi bagi mewujudkan satu sistem sokongan untuk keluarga muda atau ibu-ibu muda supaya ia dapat memberikan jaminan bahawa anak-anak mereka akan selamat di pusat-pusat jagaan seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, bayi lelaki berusia lima bulan yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki menyamar sebagai bapanya, ditemui mati di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves
Mayat mangsa ditemui dalam bahagian atas peti ais dua pintu di rumah pengasuh tersebut kira-kira jam 11 malam semalam.
Mengulas perkara tersebut, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan melahirkan rasa sedih dengan kematian bayi berkenaan yang pada awalnya didakwa diculik tetapi ditemui dalam sebuah peti sejuk di rumah penjaganya.
“Saya maklum bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan atas punca kematian bayi tersebut,” katanya.