PUTRAJAYA, 10 Dis -Kabinet bersetuju dengan cadangan Kementerian Dalam Negeri untuk membangunkan Sistem Imigresen Bersepadu, iaitu satu sistem perkhidmatan imigresen dalam talian sepenuhnya.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sistem itu akan menggantikan Program Pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) dan sistem ‘patch on’ lain yang diguna pakai Jabatan Imigresen pada masa ini.
Katanya, selaras dengan keputusan itu, Kabinet juga bersetuju untuk membatalkan pelaksanaan projek Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) bernilai RM3.5 bilion.
“Pembatalan ini dibuat atas faktor keperluan untuk membangunkan satu sistem baharu yang lebih komprehensif, cekap, mesra pengguna dan mempunyai nilai untuk wang serta menjimatkan dana kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Imigresen 2018 di Putrajaya, hari ini.
Muhyiddin berkata, pembangunan sistem baharu itu akan dilaksanakan secara tender terbuka dan proses perolehannya akan diberikan keutamaan oleh kerajaan dengan mengambil kira keperluan mendesak bagi menambah baik sistem Jabatan Imigresen.
“Saya berharap sistem ini dapat dibangunkan secepat mungkin agar mutu penyampaian perkhidmatan Jabatan Imigresen dapat ditingkatkan segera,” katanya.
Sambutan yang bertemakan “Sayangi Malaysiaku – Kedaulatan dan Keselamatan Tanpa Kompromi” turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.
Ketua pengarah JIM, Datuk Seri Mustafar Ali dalam kenyataannya berkata persembahan perbarisan Kawalan Kehormat Imigresen Malaysia hari ini adalah sebagai menghormati dan megenang tarikh bersejarah 1 Disember yang merupakan tarikh sebenar Sambutan Hari Imigresen Malaysia.
Turut diadakan Persembahan Pancaragam Setia Perwira dan Persembahan Pasukan Kawalan Khas (PPK) bersama Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) yang baru ditubuhkan kira-kira 9 bulan yang lalu.
PASTAK telah mendapat latihan khusus antaranya kemahiran pengendalian senjata api, pengiring orang kenamaan dan Close Quarter Battle (CQB) oleh agensi lain antaranya PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia.pasukan ini juga telah didedahkan dengan kemahiran pengendalian senjata api laras panjang seperti M4 Carbain, M16 MP5 dan S.G komando.