KUANTAN, 12 Okt – Eksesais Paradise siri 7/20 akan menjadi platform terbesar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di dalam menambah baik prosedur dan tahap profesionalisme setiap anggota serta asetnya.
Panglima Operasi Udara (PANGOP), Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Salleh Osman TUDM berkata, eksesais tersebut juga adalah untuk menentukan tahap kesiapsiagaan aset yang tinggi bagi memastikan pertahanan negara sentiasa terpelihara.
Beliau berkata, eksesais pada kali ini hanya melibatkan elemen TUDM iaitu ‘Single Service’ tanpa sebarang penglibatan elemen Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ekoran situasi negara yang masih berdepan dengan wabak pandemik COVID-19.
“Semua warga TUDM diumpamakan berada di bawah satu bumbung dan perlu bekerjasama dalam apa juga tugas yang dilaksanakan,
“Gabungan elemen udara seperti pesawat pejuang, helikopter, mobiliti, elemen dukungan daratan akan menyerlahkan potensi dan meningkatkan prestasi tugasan yang melibatkan pelbagai kemahiran, pengalaman serta penilaian apabila digabungkan,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Eksesais Paradise 7/20 di Pangkalan Udara Kuantan, hari ini.
Eksesais yang bermula hari ini sehingga 23 Oktober 2020 melibatkan ruang udara sekitar Semenanjung Malaysia.
Antara pesawat yang terlibat termasuk pesawat pejuang F/A-18D, Su-30MKM dan Hawk 108/208; pesawat pengangkut C-130H, A400M dan CN 235 selain helikopter EC-725 AP.
Pesawat TUDM melaksanakan penerbangan rendah pada waktu siang dan malam di beberapa kawasan yang telah digazetkan sebagai lokasi latihan sepanjang eksesais tersebut. – airtimes.my