SINGAPURA, 15 JAN – Pihak Kementerian Pertahanan Singapura menegaskan tentera negara itu tidak terlibat dalam mana-mana operasi ketenteraan terhadap Houthi.
“Singapura tidak terlibat dalam mana-mana serangan ketenteraan terhadap Houthi di Yaman,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, tentera Singapura (SAF) telah menghantar anggota tenteranya untuk menyertai Operation Prosperity Guardian (OPG).
“OPG merupakan usaha di bawah bidang kuasa Combined Task Force 153: Red Sea Maritime Security,
“Operasi ini memberikan fokus kepada usaha untuk melindungi kapal-kapal dagang dari ancaman keselamatan melalui perkongsian maklumat dan rondaan bersama,” kata kenyataan itu.
Jelasnya, serangan yang dilancarkan oleh pihak Amerika Syarikat dan United Kingdom tidak mempunyai kaitan dengan OPG.
Pada Jumaat lalu, beberapa lokasi di Yaman telah diserang oleh AS dan UK sebagai tindak balas terhadap ancaman Houthi. Serangan turut dilaporkan berlaku pada Sabtu dan Ahad.
Singapura sebelum ini mengumumkan penglibatan pasukan tentera republik itu dalam OPG. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Singapura #Global