KUALA LUMPUR, 10 Mac – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penghantaran bekalan makanan asas kepada penduduk sekitar kawasan Simpang Renggam, iaitu antara kawasan yang turut terjejas teruk akibat bencana alam banjir yang melanda negeri Johor.
Menurut TUDM, prihatin dengan nasib mereka yang ditimpa musibah banjir tersebut, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM telah turun padang bagi melihat dan menyalurkan sumbangan kepada penduduk di kawasan yang terjejas, semalam.
Mohd Asghar tiba di Sekolah Kebangsaan Sungai Linau, Simpang Renggam, Johor dengan helikopter EC 725 AP dari No 10 Skn yang diterbangkan dari Pangkalan Udara Subang.
“Di dalam masa yang sama, beliau turut serta melihat usaha-usaha bantuan diberikan di samping memberikan semangat serta sokongan moral kepada anggota-anggota yang bertugas dengan penuh komitmen menjalankan misi dan amanah yang dipertanggungjawabkan,
“Sebanyak 99 kotak barang makanan keperluan asas terdiri daripada beras, sardin, kopi, gula dan tepung telah diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir,” jelas TUDM menerusi hantaran di media sosialnya, malam tadi.
Selain daripada itu, Panglima Tentera Udara turut meluangkan masa menyantuni mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di kawasan terlibat.
Di Johor, bilangan mangsa banjir kembali meningkat kepada 45,218 orang, berbanding 43,856 orang yang direkodkan pada 8 malam tadi, dengan jumlah keseluruhan PPS yang masih beroperasi di 6 daerah adalah 174, setakat ini.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 38,134 orang dipindahkan, diikuti Muar melibatkan 3,661 mangsa dan Tangkak 2,073 orang. -airtimes.my