SINGAPURA, 17 Feb – Singapura telah menerima penghantaran pertama vaksin COVID-19 Moderna, 2 minggu selepas pihak berkuasa meluluskan penggunaannya di negara itu.
Vaksin itu berlepas dari Brussel, Belgium dan dibawa menaiki penerbangan Singapore Airlines (SIA) menerusi perkhidmatan kargo udara dan tiba sekitar jam 1.40 tengah hari.
Pada 3 Febuari, Lembaga Sains Kesihatan Singapura telah mengumumkan akan menggunakan vaksin Moderna COVID-19 untuk orang ramai yang berusia 18 tahun ke atas.
Ini merupakan vaksin kedua yang telah diluluskan untuk digunakan di Singapura.
Terdahulu, pada 21 Disember tahun lalu, Singapura juga telah menerima vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19.
Menurut Menteri Pendidikan Singapura, Lawrence Wong, menerusi laman sosial Facebooknya, Singapura akan menerima lagi vaksin Pfizer-BioNTech yang dijangka tiba pada hari Rabu ini.
“Vaksin Moderna dan Pfizer-BioNTech dijangka akan tiba sepanjang tahun ini,” katanya.
SIA juga menyatakan, vaksin yang diterima itu akan ditempatkan ke stor penyimpanan milik syarikat SATS sebelum diserahkan ke pihak seterusnya.
Syarikat penerbangan itu juga telah menerbangkan sebilangan besar vaksin Pfizer-BioNTech ke Australia dan New Zealand. – airtimes.my