TAIPEI, 6 APRIL – Kementerian Pertahanan Taiwan melaporkan kapal pengangkut pesawat China, SHANDONG sedang berada di kawasan timur perairan negara pulau itu.
Menteri Pertahanan Taiwan, Chiu Kuo-cheng menyatakan Shandong berada kira-kira 200 batu nautika (370 kilometer) dari kedudukan kapal induk Tentera Laut Amerika Syarikat, USS NIMITZ.
Menurut beliau, kapal pengangkut pesawat pertama China dikesan pada Rabu dan dipercayai sedang melakukan latihan.
“Walaupun latihan, ia dilakukan pada waktu yang sensitif dan kami sedang memantau apa yang berlaku,” katanya yang dipetik oleh Reuters.
Tambah Chiu, kapal frigat tentera laut Taiwan sedang mengekori Shandong pada jarak 5-6 batu nautika.
Terdahulu, Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen telah mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Michael McCaul di California. Pertemuan tersebut berlangsung pada hari Rabu dan dilakukan secara tertutup.
Pertemuan ini sudah tentu menimbulkan kemarahan kepada China yang menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya.
Tahun lalu, China telah melancarkan latihan peperangan semasa lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat pada ketika itu, Nancy Pelosi ke Taipei.
Sementara itu, memo yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Jepun menunjukkan Shandong diiringi oleh beberapa buah kapal lain. Ini termasuk frigat Type 054A, Liuzhou (573) dan sebuah kapal sokongan kelas Fuqing.
Menurut memo tersebut, kumpulan kapal China telah berlayar di kawasan perairan antara Taiwan dan Pulau Yonagumi, Jepun. – airtimes.my