JOHOR BAHRU, 29 Dis – Ketua Bahagian UMNO Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata asas pentadbiran negara yang menyaksikan kesinambungan berkenaan penugasan kerajaan dan pembangkang masih dilihat belum stabil.
Shahrir berkata, kedua-dua pihak sama ada dari Pakatan Harapan (PH) mahupun Barisan Nasional (BN) juga kekok dalam menjalankan peranan dan tanggungjawab mereka kepada rakyat.
“Pemerintahan pemimpin PH masih gagal menjalankan peranan sebagai kerajaan berwibawa, banyak tindakan dan kenyataan mereka juga hanya menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.
“Begitu juga dengan kepimpinan BN, dimana wakil rakyat tidak tahu untuk bergerak sebagai pembangkang yang efektif kerana sudah terbiasa menjadi kerajaan sebelum ini.
“Masing-masing kekok dengan kedudukan baharu mereka sama ada sebagai kerajaan dan pembangkang,” katanya.
Shahrir berkata, tahun 2018 merupakan peristiwa kesedaran buat semua pihak khususnya rakyat negara ini berkenaan kesan terhadap pilihan yang dibuat kerana dikaburi penipuan.
Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu merujuk kepada kemenangan diraih PH adalah disebabkan janji pemimpin PH sebelum ini yang hanya berlandaskan sandiwara politik.
“Sebelum ini mereka mendakwa pelbagai perkara akan berlaku sekiranya kerajaan bertukar namun sehingga kini tiada apa perubahan yang berlaku.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan program Larian Tok Uban 2018 yang diadakan di Taman Suria, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi UMNO negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Ketua Pemuda Umno negeri, Mohd Hairi Mad Shah.