SHAH ALAM, 2 Sep – Seramai 2,801 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia akan mengundi pada 4 September ini.
Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Md. Yusop Mansor berkata, daripada jumlah tersebut seramai 31 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis akan mengundi di ruang legar kuarters Balai Polis Seri Kembangan.
Menurutnya, bagi proses pengundian awal di PRK DUN Seri Setia, seramai 2,770 pengundi awal terlibat meliputi 2,597 anggota tentera serta pasangan mereka dan 173 anggota polis.
“Bagi anggota tentera serta pasangannya, mereka akan mengundi di Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara Subang manakala bagi anggota polis pula mereka akan mengundi di Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini.
“Pusat pengundian awal akan dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Md. Yusop berkata, proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding di bahagian-bahagian pilihan raya berkenaan.
Katanya, di samping itu, pemerhati-pemerhati pilihan raya daripada wakil-wakil organisasi serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR juga akan turut menyaksikan proses pengundian awal tersebut.
“Untuk makluman, kertas-kertas undi awal tidak akan dikira di tempat mengundi pada 4 September ini sebaliknya akan disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis.
“Pengiraan kertas-kertas undi awal tersebut hanya akan dijalankan pada 8 September ini secara berkelompok di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dengan disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing,” ujarnya.
PRK DUN Balakong dan Seri Setia masing-masing menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Wong Siew Ki berdepan calon MCA Tan Chee Teong di Balakong sementara di Seri Setia calon HARAPAN Halimey Abu Bakar bertembung dengan calon PAS Dr Halimah Ali.
PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas manakala PRK DUN Seri Setia susulan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu akibat kanser usus.
Kedua-dua kawasan tersebut sebelum ini dimenangi oleh HARAPAN.