KUALA LUMPUR, 24 Okt – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat di Istana Negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, rundingan tersebut akan membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Semalam, Perdana Menteri telah mempersembahkan cadangan-cadangan yang dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri untuk pertimbangan serta perkenan oleh Seri Paduka Baginda, semalam.
“Sesi sembah taklimat cadangan berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam di Istana Abdul Aziz, Kuantan,” kata kenyataan itu.
Semalam, Muhyiddin telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri berhubung keadaan semasa negara dalam menghadapi COVID-19.
Desas-desus darurat mula bertiup kencang apabila kesemua menteri yang hadir ke mesyuarat itu enggan memberikan sebarang kenyataan. Tambahan pula, Perdana Menteri telah bertolak ke Pahang untuk menghadap Seri Paduka Baginda.
Selain itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabrid dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham tidak bersiaran langsung seperti biasa semalam.
Namun, sehingga kini, belum terdapat sebarang tanda-tanda yang jelas menunjukkan darurat akan diumumkan kerana tiada sebarang kenyataan rasmi berhubung isu tersebut.
Sementara itu, dalam kenyataan oleh Istana Negara, Seri Paduka Baginda bertitah agar rakyat bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menunggu keputusan cadangan-cadangan yang dikemukan oleh Muhyiddin.
“Seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugat ketenteraman negara,” titah Al-Sultan Abdullah. – airtimes.my