GAZA, 1 NOV – Tentera Israel meneruskan kekejaman dengan melancarkan serangan udara menyasarkan kem pelarian terbesar, Jabalia yang sarat dengan penduduk di Semenanjung Gaza semalam.
Tindakan itu menyebabkan kemusnahan besar selain turut meragut nyawa sekurang-kurangnya 50 rakyat Palestin dan seorang komander Hamas.
Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Richard Hecht dilaporkan berkata, serangan itu menyasarkan seorang komander Hamas iaitu Ibrahim Biari yang didakwa bersembunyi dalam kalangan orang awam.
Menurut pihak berkuasa tempatan, sekurang-kurangnya 20 buah rumah musnah dalam serangan tersebut, manakala gambar yang disiarkan secara online memaparkan kawah besar terhasil akibat letupan. Beberapa bangunan turut musnah di kem itu.
Susulan serangan itu, pasukan perubatan di Palestin kini bergelut untuk merawat semua mangsa selain terpaksa menyediakan bilik pembedahan di koridor hospital.
Malah, rakaman diperoleh Reuters menunjukkan barisan puluhan mayat berselimut dengan kain putih di sebuah hospital, selepas serangan ke atas Jabalia.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata, hampir 40,000 rumah musnah sama sekali dan selebihnya rosak teruk.
Ketika ini 1.4 juta rakyat Palestin menjadi pelarian sama ada disebabkan rumah yang didiami hancur dibom atau kerana terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing bagi mencari perlindungan.
“Angka ini termasuk hampir 671,000 orang yang tinggal di 150 kemudahan Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA),
“Seramai 121,750 berlindung di hospital, gereja dan bangunan awam lain dan hampir 83,000 di 72 sekolah bukan UNRWA,” katanya.
Kementerian itu juga berkata, sehingga semalam seramai 8,613 rakyat Palestin telah dibunuh dengan 8,485 syahid di Gaza manakala 125 lagi menjadi korban serangan Israel di Tebing Barat.
Sementara itu 130 petugas kesihatan di Gaza dilaporkan terbunuh dan 110 cedera dan sebanyak 78 ambulans menjadi sasaran serangan dengan 28 musnah. -airtimes.my
#global #Malaysia #Palestin #Israel #airtimes