BUKIT KATU HITAM, 6 Jul – Seramai 6 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang wanita warga Myanmar ditahan ketika cuba menceroboh masuk negara di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, semalam.
Pihak Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) memaklumkan, kesemua PATI itu ditahan di kawasan hutan berdekatan sempadan Malaysia – Thailand dalam sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).
“Hasil pemeriksaan mendapati 5 lelaki dan 1 wanita yang ditahan berumur antara 25 hingga 46 tahun merupakan warganegara Myanmar yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan memasuki negara melalui laluan haram,
“Turut dirampas adalah sebuah telefon bimbit dan wang tunai dalam matawang Malaysia dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM701.00,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Tambah kenyataan itu, kesemua PATI berkenaan telah diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.
Dalam masa yang sama, pihak Markas 2 Div memaklumkan, pasukan beroperasi akan terus memperketatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya kemasukan PATI. -airtimes.my