KOTA SEMARAHAN, 11 Feb – Tentera Darat Malaysia (TDM) terus memerkukuhkan tahap pertahanan negara dalam membantu pihak berkuasa awam mendepani bencana, membasmi isu kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan aktiviti penyeludupan terutamanya di Sabah serta Sarawak.
Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTD) menjelaskan, TDM akan terus komited mempamerkan kehadiran dan melaksanakan pengawasan tentera di kawasan operasi dengan mengekalkan penempatan di kem atau pos yang ditetapkan susulan pengumuman pembukaan semula sempadan negara oleh Majlis Pemulihan Negara yang dijangka seawal 1 Mac depan.
Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad berkata, pelaksanaan rondaan berkala, serang tangkap (SERKAP), pengawasan serta pemerhatian di kawasan tanggungjawab akan diperhebat bagi mendominasi dan menghalang sebarang bentuk ancaman keselamatan, mencegah penyeludupan, kemasukan PATI serta aktiviti jenayah rentas sempadan.
“Anggota akan diaturgerakkan dan ditempatkan di kawasan strategik di persempadanan Sarawak dan Sabah dengan Brunei, KALBAR serta Kalimantan Utara (KALTARA) melalui pos-pos operasi TDM,
“Selain itu, anggota juga akan ditempatkan di pos–pos Gabungan Bersama (GABMA) TDM dengan Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Darat (TNI-AD),
“Aspek peningkatan kemahiran anggota menerusi ‘train the trainer’ terus diperkasa dengan membudayakan amalan ‘do the right thing’ dalam pelaksanaan tugas,” jelasnya ketika melakukan lawatan ke tapak projek Pos Padang Pan pada Khamis.
Tambahnya, sebanyak 21 pos imbangan TDM akan didirikan di Sabah dan Sarawak bagi mengekang sebarang ketirisan di pintu masuk negara.
PMTD turut menjelaskan, anggota dari Skuardron Ketiga Rejimen Askar Juruter Diraja (3 Skn RAJD) dan Batalion Kesepuluh Rejimen Renjer Diraja (10 RRD) kini sedang melaksanakan proses pembinaan Pos Padang Pan bagi menangani integriti di persempadanan Sarawak – Kalimantan.
Proses pembinaan yang bermula sejak 17 Mei 21 lalu dan menelan belanja RM6 juta ini merupakan penampan bagi sebarang potensi kebocoran di jajaran KALBAR dan seterusnya memastikan sempadan Wilayah 2 kekal utuh.
Selain itu, Mardzuki turut melakukan lawatan ke Kem Jawatankuasa Pengurusan Gerakan (JPG) Serikin bagi meninjau kesiagaan pasukan Batalion ke-2- Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) yang kini sedang bertugas di kem sejak September 2004.
Jelas PMTD, rancangan pembinaan Pos Serikin telah diusulkan berdasarkan kapasiti lokaliti yang menjadi tumpuan PATI menyeludup produk dari KALBAR tanpa kawalan yang efektif hingga menjadikan Serikin masyhur dengan jolokan ‘Medan Penjaja’ berkonsepkan pekan sehari pada hari Sabtu dan Ahad.
“Menurut sumber tempatan, dikhabarkan kerajaan negeri berhasrat untuk membina Kompleks Kastam dan Kuarantin (CIQ) di kawasan am Serikin agar barter trading mampu dilaksanakan di premis berkenaan kelak,” ujarnya.
Untuk rekod, PMTTD telah melakukan rampasan sebanyak RM23,680,319.96 dengan sejumlah 1,534 orang PATI ditangkap, 669 diusir dan 50 penyeludup.
“Kejayaan ini merupakan cerminan kesiagaan mapan warga PMTTD dalam tekad mengekalkan integriti di gerbang akses negara,” tegasnya. -airtimes.my
Galeri Gambar: