Sistem artileri gerak kendiri (self propelled howitzer,SPH) CAESAR telah mencipta rekod penjualannya yang tersendiri pada tahun 2022.
Nama CAESAR sudah tentu tidak asing bagi kita semua memandangkan sistem artileri ini merupakan antara calon SPH yang ditawarkan kepada Tentera Darat Malaysia.
Menurut NEXTER, CAESAR telah berjaya mencapai kejayaan komersilnya yang tersendiri untuk tempoh tahun 2022.
“Republik Czech telah melakukan perolehan tambahan 10 buah CAESAR 8×8 kepada pesanan 52 buah yang dilakukan pada tahun 2021,
“Ini sekaligus menjadikan 55 unit Caesar telah ditempah pada tahun 2022 oleh 4 pelanggan Nexter,” kata syarikat pengeluar dalam satu kenyataan.
Selain daripada itu, CAESAR turut menerima 2 negara pelanggan baharu iaitu Belgium dan Lithuania. Kedua-dua negara ini masing-masing telah memesan sebanyak 9 dan 18 CAESAR MkII.
CAESAR 6×6 MkII pertama kali dipesan oleh kerajaan perancis pada tahun 2021. Ia merupakan gandingan sistem meriam yang dipasang pada chasis yang direka oleh Arguus. Perolehan oleh Paris dijangka akan siap pada tahun 2026.
Lithuania yang memesan 18 buah CAESAR MkII akan terlibat dalam fasa pembangunan artileri yang diperolehinya bagi memastikan ia memenuhi keperluan negara itu.
CAESAR MkII – Tingkat upaya perlindungan kru dan mobiliti
CAESAR direka untuk mempunyai mobiliti yang baik dan berupaya untuk dioperasikan oleh 3 hingga 5 orang kru. Selain daripada itu, ia mampu untuk melakukan operasi tembak dan gerak (shoot and scoot) dalam masa yang singkat.
Selepas melaksanakan 6 das penembakan, CAESAR akan bergerak ke lokasi baharu dalam tempoh 2 minit. Taktik sebegini adalah perlu bagi sistem SPH memandangkan kemajuan teknologi masa kini untuk melakukan tembakan balas artileri (counter battery).
Kemampuan sebegini sudah tentu menjadikan CAESAR sebagai sasaran berkepentingan di medan konflik. Perubahan corak konflik dapat dilihat dengan jelas dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan. Ini termasuklah penggunaan IED yang boleh mengancam nyawa dan keselamatan kru serta sistem artileri.
Menurut NEXTER, penambahbaikan telah dilakukan pada CAESAR 6×6 MKII dengan menitik beratkan keselamatan kru dan mobiliti.
Dari aspek mobiliti, enjin kenderaan baharu 460 kuasa kuda digunakan berbanding enjin terdahulu yang mempunyai 215 kuasa kuda. Selain daripada itu, model terbaharu ini juga dilengkapi dengan kotak gear automatik dan chasis baharu.
Chasis ini dilengkapi dengan perlindungan STANAG Level 2 pada ruang kabin. Ini bagi melindungi kru daripada ancaman projektil, periuk api dan IED.
Pada masa yang sama, NEXTER masih mengekalkan ciri-ciri kemampuan untuk kenderaan ini di bawa oleh pesawat pengangkut seperti A400M dan C-130H.
Dari segi persenjataan, CAESAR 6×6 MkII masih dilengkapi dengan meriam 155mm/52-kaliber. Namun begitu, ia dilengkapi dengan perisian sistem kawalan tembakan yang terkini.
CAESAR berupaya untuk melepaskan 6 das tembakan dalam masa seminit dan mampu mengempur sasaran dengan tepat pada jarak lebih 40 kilometer. – airtimes.my