SELANGOR, 12 Mac – Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan beberapa program awam yang tidak bersifat kritikal dibatalkan ekoran penularan wabak COVID-19.
Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari berkata, pembatalan program tersebut dibuat ekoran pengumuman World Health Organization (WHO) yang mengelaskan COVID-19 sebagai pandemik.
“Pembatalan dan penangguhan program sebegini kerana ia berpotensi menyebarkan virus,” katanya.
Amirudin menegaskan, Selangor Job Fair 2020 antara program yang akan dibatalkan akibat penularan wabak berkenaan.
“Sekiranya program yang akan dianjurkan tidak dapat dielakkan, maka langkah-langkah pencegahan seperti pemakaian tutup muka dan pengunaan hand sanitizer wajar dipatuhi bagi mengelakkan berlaku sebarang jangkitan,
“Saya juga ingin memaklumkan bahawa pagi ini Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) telah meluluskan dengan serta merta penubuhan Task Force COVID-19,
“Task Force ini dipengerusi oleh mantan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Sri Dr Dzulkefli Ahmad dan dibantu oleh Dr Siti Mariah Mahmud yang menjadi Ahli Teras mewakili Kerajaan Negeri,” jelasnya dalam kenyataan harini.
Sehingga jam 11.00 pagi tadi, Malaysia telah mencatatkan 149 kes wabak COVID-19.