KUALA LUMPUR, 23 Nov – Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani hari ini menegaskan anggota polis ditempatkan dibeberapa lokasi strategik di seluruh Malaysia adalah untuk menjamin keselamatan.
“Bermula 22 November sehingga satu masa ditetapkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melancarkan sekatan jalan raya (SJR) di lokasi-lokasi setiap daerah di seluruh negara,
“Langkah mendirikan SJR ini adalah sebahagian daripada usaha PDRM cegah jenayah melalui peningkatan tahap omnipresence (peraga kehadiran) bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
Menurut beliau, SJR akan beroperasi selama 24 jam.
“Demi keselesaan pengguna jalan raya serta kelancaran lalu lintas, tiada halangan SJR akan dijalankan pada waktu puncak dan siang hari,
“Orang ramai diminta memberikan kerjasama dalam mematuhi arahan yang diberikan ketika melalui SJR terutamanya di luar waktu puncak,” katanya.
Selain itu, Acryl menyatakan masyarakat tidak perlu bimbang untuk menjalankan aktiviti harian kerana PDRM telah memberi jaminan bahawa tahap keselamatan adalah terkawal. – airtimes.my